Salam dan Selamat Sejahtera kepada warga UTM sekalian,

Siri Mesej Integriti pada kali ini ingin berkongsikan berkenaan dengan pakaian yang sesuai ke pejabat. Nampak seperti perkara remeh, tetapi kadang – kala masih wujud golongan yang tersasar dalam memilih pakaian YANG BETUL untuk ke pejabat, yang membuatkan orang lain berasa sakit mata memandang.
Setiap hari kita akan berpakaian dengan gaya tersendiri ke pejabat. Tiada sesiapa dapat menafikan bahawa gaya pemakaian seseorang individu memainkan peranan yang amat besar di tempat kerja. Cara berpakaian atau penampilan seseorang pekerja biasanya menarik perhatian majikan mereka dan ada juga ada masanya dimana ia menjadi faktor penghalang seseorang itu tidak boleh pergi jauh dalam bidang kerjaya mereka.
Oleh itu, untuk membantu anda tampil sempurna dengan gaya yang sesuai ke pejabat, berikut merupakan 11 tips pemakaian yang boleh anda jadikan sebagai panduan:
1. Kenal pasti kod pemakaian di pejabat anda 
Melihat situasi kerja di UTM, tidak semua pegawai perlu memakai pakaian formal ketika bekerja, namun majoriti perlu begitu. Hal ini mengambil kira bidang kerja yang dijalani adalah berbeza – beza. Misalnya pemandu dengan kemeja biru, dan Pengawal Keselamatan dengan pelbagai uniformnya yang tersendiri.  Namun begitu, asas di UTM, kita dipandukan oleh Peraturan 5, Bahagian II, Peraturan – Peraturan Tatatertib Badan – Badan Berkanun, Akta Badan – Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000, dalam mematuhi etika berpakaian. Misalnya, pada hari Ahad kita ditetapkan untuk memakai baju batik, maka diperlukan untuk kita berbatik.Kita juga dipandukan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil.2 Tahun 1985 dan Pekeliling Pentadbiran UTM Bil. 5 Tahun 2006.   
2.  Pakai saiz pakaian yang betul 
Penting untuk anda memakai pakaian dengan saiz yang betul. Jangan pakai pakaian yang terlalu ketat atau terlalu longgar kerana keduanya mencacatkan penampilan anda.
3. Pastikan rambut anda kemas 
Elakkan daripada tidak menyikat rambut sebelum ke pejabat dan pastikan juga rambut anda kering,kemas dan rapi.Untuk lelaki, jangan memakai gel rambut terlalu banyak.
4. Pakai beg yang sesuai 
Perkara ini sering dianggap remeh oleh ramai orang. Tetapi sebenarnya pemilihan beg ke tempat kerja juga amat memainkan peranan yang penting. Oleh itu, pastikan beg tangan anda sentiasa kemas dan bersih.
5. Dan pilih kasut yang bersesuaian 
 
Sama seperti beg, soal pemilihan kasut juga amat penting dan oleh itu anda harus memakai koleksi kasut yang sesuai dipadankan dengan koleksi pakaian pejabat anda. Contohnya, jangan memakai sneakers bersama padanan seluar slack dan kemeja pejabat. Buat wanita, jangan memakai heels terlalu tinggi sehingga menyebabkan anda sukar untuk berjalan.Kasut terbaik adalah jenis kulit bertutup, selain melindungi kaki, anda akan kelihatan sentiasa kemas.
6. Elakkan memakai wangian yang berbau terlalu kuat 
Memang tidak dapat dinafikan, bau yang wangi boleh meningkatkan daya keyakinan seseorang individu. Namun perlu diingatkan bahawa bau yang terlalu wangi boleh menyebabkan orang disekeliling anda berasa kurang selesa.
7. Pemilihan aksesori 
Tampil ringkas dengan pemilihan aksesori yang bersesuaian dan aksesori yang paling ideal untuk dipakai oleh semua orang adalah jam tangan!
 
8. Elakkan memakai pakaian yang terlalu terang 
Lupakan warna yang terlalu terang seperti neon, oren, kuning dan seumpamanya ketika anda ingin melakukan urusan rasmi di pejabat, terutama apabila dijemput menghadiri mesyuarat dan persidangan. Warna – warna seperti itu boleh anda gayakan semasa bersantai bersama keluarga kelak.
9. Jangan bergaya terlalu seksi
Penting untuk anda membezakan koleksi pakaian yang seksi dan koleksi pakaian yang elegan. Bergaya terlalu seksi di pejabat boleh memberikan tanggapan bahawa anda kurang professional dan menyebabkan gangguan – gangguan lain yang tidak diingini.Buat wanita misalnya, baju paling ‘selamat’ adalah baju kurung. Namun tidak salah untuk kadang – kala menggayakan blouse dan skirt/seluar slack dengan corak yang sesuai.
10.Pilih jenis pakaian yang tidak bercorak terlalu ‘heavy’ dipandang mata 
Pastikan pakaian anda tidak kelihatan seperti ingin pergi ke pasar atau ke pusat membeli-belah. Sebaik-baiknya,pilih koleksi pakaian dengan rekaan dan corak yang minimal, namun masih tetap ‘smart’.Gayakan seadanya, anda akan tampak elegan dan berasa yakin.
11. Buat wanita, berhijablah dengan sempurna
Tips terakhir ini khas dikongsikan buat semua wanita yang berhijab di UTM, kerana majoriti warga UTM adalah wanita dan berhijab. Pilih hijab dengan warna yang padan dengan busana anda. Labuhkan ia seadanya menurut panduan menutup aurat yang sebenar (menutup belahan leher dan bahagian dada dengan sempurna,dilabuhkan dan tidak jarang). Gayakan hijab seadanya, selagi profesionalisme anda tidak dipersoalkan. In shaa Allah.
Sama – sama kita ambil yang positif berkenaan tips ini untuk kesejahteraan semua.
Sekian, yang baik itu dari Allah SWT, yang kurang baik daripada kelemahan kami sendiri. Terima kasih kerana meminjamkan masa anda.
RUJUKAN PERATURAN BERKAITAN :-
1.Peraturan 5, Bahagian II, Peraturan – Peraturan Tatatertib Badan – Badan Berkanun, Akta Badan – Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.
2.Pekeliling Perkhidmatan Bil.2 Tahun 1985. 
3.Pekeliling Pentadbiran UTM Bil. 5 Tahun 2006.   
4.Surat Pekeliling Pentadbiran Bil.1 Tahun 2014.