07-5558518

LANGKAH PENGAWALAN DAN PENCEGAHAN COVID-19 DI UTM

Semoga semua warga UTM – staf dan pelajar sentiasa dalam rahmat Allah. Seluruh dunia sedang diuji dengan wabak COVID-19 dan di UTM kita sedang menguruskan keadaan ini mengikut semua prosedur yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Kita faham keadaan panik boleh berlaku sekiranya ada berita mengenai kes COVID-19 berlaku di UTM. Alhamdulillah, sehingga email ini ditulis belum ada kes positif COVID-19 yang disahkan berlaku di UTM. Mohon sama-sama kita doakan semoga semua warga UTM dan rakyat Malaysia akan selamat sepenuhnya dari virus ini. Walau bagaimanapun, UTM sentiasa mengambil langkah proaktif sebagaimana SOP yang dikeluarkan oleh KKM dan KPM.

Beberapa staf dan pelajar yang di pantau ketika ini, adalah dalam kategori Person Under Investigation (PUI) atau disyaki. Mereka yang disyaki dan mempunyai simpton akan terus dihantar ke hospital Permai. Ada juga pelajar dan staf diletakkan dibawah home surveillance. Sekali lagi ditegaskan ini adalah langkah pencegahan awal dan UTM mendapat kerjasama sepenuhnya dari Pusat Kesihatan Daerah Kulai (PKD).

Langkah pengawalan dan pencegahan penularan COVID-19 adalah dilaksana bukan sahaja di UTM malah dimana-mana organisasi yang mempunyai kes disyaki.

KKM juga telah mengeluarkan kenyataan agar organisasi yang dikesan kes positif COVID-19, tidak perlu membuat penutupan pejabat, sebaliknya memadai dengan mengambil langkah pencegahan kebersihan atau disinfeksi. Maka, ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM diminta untuk memastikan tugasan diteruskan seperti biasa dengan merujuk pekeliling atau mendapatkan penasihatan dari Jabatan Pendaftar.

Warga UTM juga dinasihati supaya tidak menularkan berita-berita mengenai kes jangkitan COVID-19 yang tidak disahkan oleh KKM bagi mengelakkan situasi panik dan salah faham dalam masyarakat.

Semua pihak diminta memberikan kerjasama kepada UTM terutama PKU bagi melaksana langkah pengawalan dan pencegahan. Warga UTM adalah diminta untuk membaca dan merujuk kepada pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Warga UTM juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik.

UTM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak KKM. Justeru, Warga UTM dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai COVID-19 melalui laman sesawang KKM http://www.moh.gov.my

Sekiranya memerlukan penerangan lanjut, sila hubungi pelbagai saluran yang telah diberikan melalui pekeliling yang telah diedarkan.

Warga juga boleh memperoleh maklumat dengan menghubungi Infoline CPRC Kebangsaan melalui no. telefon :  03-8881 0200 / 03-8881 060 / 03-8881 0700 yang beroperasi dari 8:00 pagi hingga 5:00 petang; dan E-mel: cprc@moh.gov.my

Sekian, Terima Kasih.