Malam BBQ SCSR

Pada 9 Mac 2017, telah berlangsungnya program Malam BBQ SCSR di Balai Cerapan. Acara yang julung-julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh hampir 200 orang yang terdiri daripada para pelajar tahun 1, 2, 3 dan 4 serta para pensyarah dari jabatan Sains Komputer. Acara ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara para pelajar baru dan lama, pensyarah dan sekaligus meraikan para pelajar tahun akhir yang bakal meninggalkan universiti tidak lama lagi.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis saudara Muhammad Fikri (4 SCSR) serta bacaan doa dari Mohamad Syahir (4SCSR) untuk memberkati majlis. Majlis diteruskan dengan matlamat utama – makan dan diselang-selikan dengan ucapan daripada Ketua Jabatan Sains Komputer yang baru, PM Dr Norafida dan wakil-wakil pelajar daripada tahun 1 sehinggalah tahun 4.

Program diteruskan dengan beberapa aktiviti permainan yang melibatkan semua pelajar supaya setiap pelajar dapat saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Malam itu diserikan lagi dengan kehadiran dua pensyarah daripada Jepun yang turut serta mengajarkan tarian tradisional Jepun kepada para pelajar.

Aktiviti ini telah berlangsung dengan jayanya berkat usahasama daripada semua pelajar dan pensyarah yang bertungkus-lumus melakukan persiapan daripada 8 Mac 2017, sehinggalah tamatnya program tersebut. Penghargaan istimewa buat pengarah program Saudara Mohamad Iqbal Hakim (4SCSR), pensyarah Cik Marina, Cik Hazinah dan Dr. Mazura atas segala usaha untuk memastikan program ini berlangsung dengan baik. Sekalung penghargaan juga buat semua para pelajar dan pensyarah dan ahli keluarga yang sudi meluangkan masa membantu, memberi sumbangan tenaga dan wang ringgit dan memeriahkan majlis pada malam tersebut.

DSC_0294

We are family!


Gambar-gambar lain dapat dilihat di sini https://www.dropbox.com/sh/mk3aifbrmxbrtv0/AAAzEJ1i4uPJK28g97PNLEJca?dl=0

Laporan disediakan oleh Amirul Aslam (4SCSR). Majoriti gambar diambil oleh Muhammad Ikhwan (3SCSR)